KUALA LUMPUR: Pemandu e-hailing yang cedera dalam kejadian pokok tumbang di Jalan Sultan Ismail di sini semalam menerima bayaran faedah daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Perkara itu dimaklumkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa menerusi hantaran di Facebook beliau hari ini selepas menziarahi pemandu berkenaan Abdul Hayyi Al Hakimi Nazli.

Beliau berkata bayaran itu disampaikan Menteri Sumber Manusia Steven Sim Chee Keong yang turut serta menziarahi mangsa.

"Abdul Hayyi adalah seorang pemandu perkhidmatan e-hailing dan pencarum kepada Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) Perkeso.

"Saya juga menyampaikan sumbangan wang tunai peribadi kepada beliau. Semoga dengan sumbangan ini serba sedikit dapat mengurangkan beban beliau dan keluarga," menurut hantaran itu.

Dalam kejadian kira-kira 2 petang semalam, seorang lelaki tempatan maut manakala dua lagi cedera selepas sebatang pokok tumbang menghempap 17 kenderaan dan landasan Monorel akibat hujan lebat serta angin kuat di Jalan Sultan Ismail.

-- BERNAMA